Perancangan Kewangan Islam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Perancangan Kewangan Islam merupakan satu alternatif bagi pengguna Islam khususnya memahami tentang kepentingan membuat perancangan berlandaskan hukum dan hadis .

Tujuan utama  perancangan kewangan Islam diwujudkan ialah kerana seiring dengan kecanggihan dan pembangunan kita terlepas pandang untuk menjaga pengaliran wang kita yang mana hasil yang diterima itu hasil yang bersih atau tidak. Pada masa ini, kebanyakkan aktiviti perundingan kewangan terhad kepada bentuk manual sahaja. Menerusi laman web ini, para perunding kewangan dan mereka yang berminat mengetahui tentang kepentingan membuat perancangan kewangan Islamdapat meningkatkan lagi perkhidmatan mereka secara langsung menerusi pembacaan dan link link yang bakal kami sediakan untuk kemudahan anda, walaupun dimana anda berada.

Setiap insan mengimpikan kehidupan yang baik. Dalam konteks Islam,kehidupan yang baik adalah yang seimbang dengan wujudnya gabungan unsur kerohanian dan kebendaan dalam kegiatan harian seseorang. Justeru, ia memerlukanperancangan menyeluruh untuk mencapai objektif itu. Antara yang perlu difikirkan adalah perancangan kewangan.

Hampir setiap hari banyak akhbar menceritakan tentang masalah menguruskan wang dengan baik. Rasuah, ceti haram atau ‘along’, skim cepat kaya,kisah jutawan segera yang kembali miskin, kegagalan membayar balik wang pinjaman pendidikan, rumah tergadai akibat gagal membayar hutang, banyak menghabiskan duit untuk perkara-perkara yang negatif, perceraian yang disebabkan kewangan, perebutan harta pusaka, muflis kerana gagal membayar balik hutang kad kredit, kereta yang dimiliki diambil semula oleh institusi kewangan, dan sebagainya.

Ini hanyalah sekadar beberapa contoh dan banyak lagi masalah-masalah lain, yang akibatnya merebak pula kepada penyakit-penyakit sosial.

Sedangkan inflasi makin lama semakin dilupakan dan diabaikan, kenaikan harga minyak, harga barangan seolah-olah tidak dapat dibendung, semua ini semakin tidak disedari dan masyarakat menjadi semakin alpa dengan memahirkan diri,menimba ilmu dalam merancang kewangan. Walhal kemahiran ini amat penting dalam menjana ekonomi keluarga dan ummah secara umumnya.

Nilai aset menjadi tidak statik, begitu juga dengan umur dan keupayaan seseorang individu. Sekiranya baik sikap dan tindakan individu terbabit, maka baiklah hasilnya. Walaupun masa yang sama diperuntukan kepada setiap orang iaitu 24 jam sehari, tetapi terdapat berbagai tahap keupayaan kewangan di antara individu.

Mereka yang cuai dan mengikut nafsu akhirnya terkandas di waktu-waktu kritikal apatah lagi setelah umur menjangkau ke tahap kurang produktif.Masyarakat menjadi semakin lupa, dalam persekitaran yang mengejar pencapaian akademik dan kemajuan hidup, aspek ini tidak didedahkan, apatah lagi dididik secara formal, samada di peringkat menengah ataupun di peringkat pengajian tinggi, contohnya hal-hal pencarian rezeki dan pendapatan yang berkat, aspek pelaburan, pentingnya takaful, pengurusan hutang, dan pelbagai aspek yang lain.

Kebendaan kini seolah-olah menjadi pengukur utama kemajuan hidup seseorang,bukan lagi akhlak dan jiwa yang tenteram. Ada yang menjadikan wang sebagai Tuhan, wanglah segala-galanya, sehingga menjadikan mereka angkuh dan tamak. Walhal wang yang diuruskan dengan baik dan bijak, boleh membawa kepada ‘hayatan tayyibah’ atau penghidupan yang baik.Masyarakat yang merdeka memiliki kebebasan kewangan. Bebas membuat pilihan dan keputusan dengan kemahiran kewangan serta tidak terikat dengan kongkongan hutang, keterbatasan kuasa beli, kelegaan dari liabiliti jangka panjang dan beban psikologi krisis kewangan.

Penekanan penting di sini ialah kesedaran tentang pentingnya tindakan awal,kemahiran mengurus kewangan, disiplin diri yang tinggi serta perancangan yang rapi. Peluang harus diberikan supaya hidup ini merdeka dari krisis kewangan yang dialami hasil dari kegagalan sendiri.Secara umum, ramai individu tidak mempunyai sumber pendapatan yang aktif dan terlalu dinamik sekarang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu,lebih ketara lagi apabila berada dalam tempoh persaraan. Kebanyakkan mereka cenderung memilih untuk menghabiskan tempoh lazim persaraan dalam keadaan yang tenang dan santai. Sedangkan, kos sara hidup tidak pernah bersara malah semakin hari semakin meningkat terutamanya perbelanjaan perubatan dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama, sikap masih leka tentang kepentingan pelaburan dan simpanan sering diabaikan.Ini adalah kerana peningkatan kos dan kadar inflasi tidak menentu semakin meningkat. Nilai yang berada di dalam pegangan masyarakat juga ikut tidak menentu menurun dengan kenaikan harga barang atau penyusutan kuasa beli wang. Tidak kurang juga pengaruh luaran lain memberi kesan kepada nilai yang sedia ada. Hubungan songsang diantara nilai pegangan dengan kos, kadar inflasi dan lain-lain ini menuntut supaya berbuat sesuatu agar tidak terus rugi atau sekurang-kurangnya dapat mempertahankan nilai wang yang dipegangi sekarang.

Berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas beberapa sistem perancangan kewangan, terdapat beberapa masalah utama yang telah dikenalpasti. Antara isu utama yang dikenalpasti ialah ketiadaan sistem yang mampu menggabungkan kesemua aspek perancangan kewangan peribadi dari perspektif Islam.

Kebanyakan perunding kewangan dan institusi syarikat kewangan mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza berhubung dengan masalah ini. Ini kerana ada di kalangan mereka yang sudah mempunyai sistem sendiri dan laman web atau portal masing masing.Justeru, usaha untuk menggabungkan kesemua sistem perancangan kewangan Islam di bawah satu sistem mungkin menemui jalan buntu. Maka,penyelesaian terbaik harus difikirkan bagi mengatasi masalah itu.Walaupun di Malaysia sudah terdapat portal-portal yang disediakan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan dan perundingan untuk kemudahan peribadi, namun tidak semua individu akan menggunakan internet sebagai medium untuk merancang aspek kewangan mereka.

Masih ramai yang memerlukan khidmat perunding kewangan samada profesional atau separa profesional dan dari pelbagai bidang yang berlainan seperti urusan-urusan perbankkan, pengurusan risiko, perancangan persaraan, perancangan pendidikan dan pelbagai aspek lagi berkaitan kewangan Islam. Dikalangan perunding kewangan pula, masih ada yang menggunakan sistem manual untuk melaksanakan urusan perundingan. Hanya sebilangan kecil sahaja yang menggunakannya sistem berkomputer.

Isu berikutnya ialah ketiadaan satu sistem yang mampu menjana dan menyediakan keputusan dalam bentuk laporan bertulis secara teratur dan mengikut turutan. Ini bagi membolehkan maklumat yang diberi dan keputusan yang diingini oleh pelanggan dapat diperolehi dengan cepat dan tepat.Sebagai contohnya, seorang pelanggan yang mengingini perancangan dari aspek pengurusan risiko atau pelaburan yang mempunyai ciri-ciri yang dihajatinya tetapi apabila dia memberi segala maklumat yang diberikan, keputusan yang dijana tidak dalam turutan ataupun tiada laporan langsung untuk membantu mereka membuat keputusan. Ini akan menyebabkan pelanggan tersebut akan berasa kecewa dan membatalkan hasrat untuk meneruskan sessi perundingan seterusnya.

Menyedari permasalahan ini, maka kami berhasrat untuk membentuk satu kemudahan kepada pengguna bagi memudahkan sesi perundingan yang menggabungkan kaedah perancangan kewangan dari perspektif Islam dibawah satu bumbung bagi membantu pengguna membuat keputusan untuk pelanggan dalam merancang aspek kewangan peribadi untuk masa depan yang lebih teratur.

Perunding sedia ada lebih menjurus kepada sesuatu perkhidmatan sahaja dan banyak yang bersifat konvensional. Ini menyebabkan jika perunding kewangan tersebut inginkan maklumat atau membuat sessi perundingan terutama dalam perancangan kewangan Islam mereka akan membuatnya secara manual ataupun mencari sumber lain.

Matlamat sebenar web ini dibangunkan ialah untuk  digunakan oleh perunding kewangan profesional atau separa profesional dalam pelbagai bidang bagi mengumpulkan maklumat-maklumat dan membantu mereka dalam merancang dan buat keputusan yang bersesuaian dengan keadaan dan kedudukan ekonomi mereka dalam aspek kewangan peribadi berkonsep shariah serta meningkatkan jualan produk dan servis yang ditawarkan.

Perancangan kewangan adalah penting,walau banyak mana sekalipun pendapatan kita. Rahsianya ialah mengetahui di mana kita sekarang, hendak ke manakah kita pada masa hadapan dan bagaimana untuk sampai ke sana.

Di Malaysia segala urusan dan amalan berkaitan perancangan dan pengurusan kewangan samada bersifat konvensional atau shariah adalah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia. Bank Negara Malaysia ialah penyelia kepada Program Perancangan Kewangan Kebangsaan, yang menitikberatkan amalan perancangan kewangan yang baik dan tabiat menyimpan wang khususnya di kalangan pelajar sekolah, kaum wanita dan golongan pekerja.

Individu atau syarikat yang terlibat dalam perancang kewangan atau financial planners adalah mereka yang boleh memberi nasihat kepakaran bagaimana hendak merancang kewangan untuk mencapai masa depan yang lebih selesa. Perancang kewangan ini menyediakan nasihat profesional kepada individu dan pelabur secara menyeluruh mengenai hal ehwal kewangan peribadi. Ia merupakan, penghubung penting antara individu atau pelabur dengan pelbagai produk dalam pasaran modal.

Pembangunan industri perancangan kewangan di Malaysia pada masa sekarang telah menggalakkan lagi pengurusan kekayaan di kalangan semua golongan pelabur termasuk pelabur runcit. Kini semakin ramai pelabur menggunakan perkhidmatan perancang kewangan termasuk suri rumah, para pekerja, mahu pun golongan profesional .

Mengurus wang individu membolehkan matlamat kewangan individu tercapai seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk membiayai pelajaran anak-anak atau merancang untuk persaraan dan sebagainya. Apa yang perlu hanyalah membuat sedikit perancangan dan mengurus hal kewangan dengan betul.

Konsep perancangan kewangan Islam diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lalu, namun kesedaran kepentingannya di kalangan orang Islam di negara ini masih rendah. Perkara itu dapat diperhatikan melalui pencapaian beberapa sektor atau bidang yang sering diberi perhatian oleh perancangan kewangan Islam seperti pelaburan, perlindungan takaful, zakat, wasiat, hibah tabungan dan kebajikan (sedekah dan wakaf).

Melalui kajian oleh Bank Negara (Berita Harian, September 2005), nilai aset bersih keseluruhan saham amanah shariah dalam industri saham amanah Malaysia untuk tahun 2004, misalnya, hanya berada pada 5.9 peratus atau sebanyak RM6.76 bilion berbanding RM80.63 bilion nilai aset bersih saham amanah konvensional. Senario sama juga berlaku di sektor takaful. Nilai gabungan aset takaful keluargadan takaful am bagi 2004, hanya RM5.5 bilion. Angka ini hanya mewakili 5.1 peratus nilai aset keseluruhan sector insurans negara. Begitu juga dengan jumlah pungutan zakat di seluruh negara. Jumlah pungutan meningkat dari setahun ke setahun, daripada RM311 juta pada 2002 kepada RM408 juta pada 2003, jika diukur kepada zakat perkapita (dengan mengambil kira jumlah penduduk Islam Malaysia, tanpa mengira umur dan jantina;dan tanpa mengambil kira sama ada mereka membayar zakat atau tidak) ia hanya berada pada tahap RM32.39 untuk 2003. Jumlah itu agak kecil untuk seseorang, tambahan pula dalam suasana peningkatan harga barangan dan perkhidmatan dewasa ini.Daripada aspek perancangan kewangan untuk tujuan kebajikan. Dengan mengambil wakaf sebagai contoh. Majlis agama negeri-negeri mempunyai banyak tanah yang diwakafkan. Jika dilihat kepada laporan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pada 2002, negara mempunyai tanah wakaf seluas 20,735.61 ekar. Bagaimanapun, kebanyakan tanah wakaf ini tidak dibangunkan disebabkan beberapa masalah, antaranya kekurangan dana.

Populasi jumlah penduduk di Malaysia mengikut peratus daripada lebih 25 juta orang mengikut pecahan agama daripada tahun 1990 sehingga 2004. Ini juga dapat menggambarkan potensi luas dalam penggunaan sistem perancangan kewangan Islam di Malaysia bukan sahaja akan digunakan oleh orang Islam tetapi yang bukan beragama Islam juga.


Dalam membuat perancangan dan pengurusan kewangan beberapa langkah haruslah ditentukan terlebih dahulu. Antara langkah awal dalam proses perancangan dan pengurusan kewangan menurut urutan daripada Bank Negara ialah:

1 Menentukan Matlamat Kewangan

Menentukan matlamat kewangan dapat membantu orang ramai baik yang muda mahupun yang dewasa untuk mempelajari nilai wang. Matlamat kewangan mencerminkan apa yang individu terbabit hendak lakukan dengan wang ditangan dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan matlamat akan mendorong seseorang berbelanja dan menyimpan wang mengikut kaedah yang akan membolehkan matlamat tercapai.

Setiap individu atau keluarga menentukan matlamat dan merancang hal kewangan mereka berasaskan kepada penilaian masing-masing. Walau apa pun jua  penilaian mereka, rancangan kewangan mereka adalah merupakan suatu ekspresi tentang apa yang paling penting bagi mereka. Umumnya matlamat-matlamat ini meliputi:

i) Membeli rumah

ii) Membeli kereta

iii) Berkahwin

iv) Pelajaran anak-anak

v) Percutian

vi) Persaraan

vii) Perbelanjaan perubatan

Penentuan beberapa siri matlamat peribadi akan membantu seseorang untuk mengurus wang ditangan dengan berhemat. Matlamat seseorang boleh berubah dari semasa ke semasa, namun ia mampu memberi dorongan dan insentif kepada individu terbabit agar terus membuat perancangan kewangan. Perancangan dan pengurusan kewangan pula haruslah dalam jangka waktu tertentu seperti berikut:

i) Matlamat Jangka Pendek

Perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat. Mungkin dalam tempoh seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak melebihi setahun seperti membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk percutian.

ii) Matlamat Jangka Sederhana

Perkara yang boleh dibuat dalam tempoh satu hingga lima tahun seperti membeli sebuah kereta atau sebuah komputer.

iii) Matlamat Jangka Panjang

Perkara-perkara yang diharapkan boleh dicapai tetapi mengambil masa yang lebih lama lagi misalnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak di peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan wang simpanan ke arah matlamat-matlamat ini bergantung kepada beberapa faktor yang seterusnya akan menentukan pilihan pelaburan yang ingin diambil. Oleh itu, adalah penting matlamat-matlamat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Amaun yang diketepikan untuk memenuhi matlamat ini berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain dan faktor-faktor yang diambil kira adalah termasuk faktor usia, tahap pendapatan, perbelanjaan, jumlah tanggungan, status pekerjaan dan taraf perkahwinan.

2 Menjejaki Wang Yang Telah Digunakan

Setelah menentukan matlamat, seseorang individu mungkin berasa adalah mustahil untuk mencapainya, lebih-lebih lagi jika mereka mendapati tiada lagi yang tinggal apabila tiba cukup bulan. Sekiranya individu tersebut ingin membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik, matlamat akan menjadi lebih mudah tercapai berbanding apa yang dijangkakan.

Walau bagaimanapun, sebelum membentuk rancangan perbelanjaan, kita perlu menjejaki dahulu ke manakah perginya wang tersebut. Ini boleh dilakukan dengan merekod setiap perbelanjaan yang dibuat bagi sesuatu tempoh contohnya lapan minggu. Ini bukan bertujuan menyekat perbelanjaan tetapi mengenal pasti hala tuju perbelanjaan tersebut.Dengan ini, kita akan mengetahui:

i) Ke mana dan bagaimana perbelanjaan wang dilakukan.

ii) Berapa banyakkah hutang yang tinggal setiap bulan.

iii) Berapa banyakkah wang yang masih tinggal pada akhir bulan.

3 Menilai Cara Berbelanja

Jika wang didapati tidak mempunyai apa-apa baki pada akhir bulan,seseorang itu haruslah perlu menilai cara mereka berbelanja. Selepas dibuat penelitian, senarai semakan perlu dibuat bagi memastikan perbelanjaan kesemuanya adalah benar-benar perlu atau merupakan perbelanjaan yang boleh kurangkan atau ditiadakan. Berikut adalah tip-tip bagaimana menjadikan perbelanjaan lebih menjimatkan:

i) Semak senarai barangan isi rumah yang dibeli untuk meneliti sama ada jenamanya boleh ditukar ke jenama yang lebih murah (seperti kertas tisu tandas, serbuk pencuci, cairan pembersih dan sebagainya)

ii) Semak senarai keperluan barang-barang dapur untuk mengenal pasti barangan yang “elok ada” tetapi sebenarnya tidak diperlukan

Isyarat amaran awal bagi mengenalpasti mengenai tabiat berbelanja yang tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kewangan adalah seperti berikut:

i) Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa.

ii) Melengahkan pembayaran bil-bil yang selalunya dibayar sebelum tarikh tamat.

iii) Membuat pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman lama.

iv) Menangguhkan pembayaran balik pinjaman.

v) Memilih untuk membayar secara ansuran apabila membeli barangan harian untuk isi rumah.

vi) Pembayaran melebihi pendapatan pada akhir bulan.

vii) Membeli mengikut gerak hati walaupun tahu bahawa tidak mampu membelinya.

Bagi membantu menyemai sifat-sifat berdisiplin di dalam cara berbelanja, adalah perlu untuk merangka rancangan perbelanjaan dan akur kepadanya.

4 Menulis Rancangan Perbelanjaan Peribadi

Dengan mencatatkan aliran wang masuk dan wang keluar, seseorang dapat menghalakan tumpuan ke bahagian di mana perbelanjaan sudah menjadi tidak terkawal dan juga bagi memberi ruang untuk menyimpan pula.Sekiranya pendapatan melebihi perbelanjaan, wang haruslah diasingkan untuk rancangan simpanan demi mencapai matlamat kewangan peribadi

Di bawah ini adalah panduan bagaimana untuk merangka satu rancanganperbelanjaan bertulis:

i. Tentukan berapakah pendapatan bulanan.

ii. Campurkan semua jumlah perbelanjaan termasuk bil bulanan tetap, bayaran balik pinjaman, sewaan, perbelanjaan keperluan harian dan sebagainya.

iii. Ketepikan sejumlah wang yang tetap yang mencukupi untuk membiayai keperluan di waktu kecemasan atau belanja bermusim (seperti yuran sekolah, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya).

Sekiranya terdapat lebihan setelah menolak perbelanjaan maka semakin hampirlah seseorang itu kepada matlamat kewangan yang dirancangkan.

Sekiranya tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, perlulah disemak semula pola perbelanjaan dan mengurangkan mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu. Belanjawan yang mencapai matlamat sebenarnya dapat membebaskan dana dan membantu mencapai peningkatan matlamat kebebasan kewangan buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

Elemen dalam Perancangan Kewangan Islam merangkumi :

1 Pengurusan Risiko dan Perlindungan Takaful

2 Perancangan Tabung Persaraan dan Pendidikan

2 Perancangan Zakat dan Cukai

4 Perancangan Harta dan Pusaka

Sila ke Info Terkini untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan anda juga boleh klik link di sebelah kanan anda di bawah Categories untuk memahami dengan lebih lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>